Monday, February 16, 2009

Iteraksi Minggu 5 ( ISL )

PENILAIAN BAHASA
Antara Jenis-Jenis Penilaian :

Banyak cara kita boleh mengkelaskan penilaian. Penilaian yang dibuat berasaskan tujuan dan masa boleh dikelaskan kepada penilaian formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik dan alternatif. Penilaian pengajaran juga boleh dilakukan melalui pelbagai hasil pembelajaran pelajar seperti disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar dan oral pelajar. Justeru ujian yang dibina perlu mencerminkan tujuan dan masa sesuatu penilaian dilakukan. Terdapat dua jenis penilaian berdasarkan kepada masa dan tujuan pelaksanaan penilaian iaitu penilaian formatif dan sumatif.

1. Penilaian Formatif :

Penilaian formatif digunakan untuk mengesan kemajuan yang dicapai oleh pelajar dalam unit-unit pelajaran yang diajar. Penilaian formatif dilakukan bagi memastikan pelajar telah menguasai setiap unit pelajaran sebelum mereka diperkenalkan dengan unit pelajaran baru seterusnya. Penilaian formatif sangat berguna bagi tujuan diagnosis. Dengannya punca-punca kelemahan pelajar dapat dikesan. Penilaian formatif dapat menentukan samada pelajar telah bersedia untuk mengikuti pelajaran berikutnya yang lebih tinggi dan rumit. Penilaian formatif juga boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar. Penggunaan penilaian formatif sangat ditekankan di sekolah.

Memandangkan laporan penilaian formatif adalah untuk tujuan diagnosis kelemahan pelajar dalam unit-unit pelajaran, pelaporan penilaian formatif amat sesuai dirumuskan sebagai “menguasai” atau “tidak menguasai” sesuatu isi unit pelajaran. Pencapaian ujian formatif tidak sesuai digred.

Guru sepatutnya memberi penerangan kepada pelajar dan ibu bapa mengenai tujuan penilain formatif iaitu sebagai ujian diagnostik yang dapat mengesan masalah yang dihadapi oleh pelajar. Maklumat yang diperoleh seharusnya terus digunakan untuk memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran. Daripada kelemahan ini, guru dan pelajar dapat mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang akhirnya membantu mempertingkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan.

Bagi memastikan penilaian formatif ini berkesan, prosedur berikut perlu diberi perhatian oleh guru, menentukan tajuk pengajaran, menentukan aspek penguasaan, menghubungkait elemen-elemen dalam tajuk, membina soalan ujian dan mencadangkan tindakan susulan.

2. Penilaian Sumatif

Penilaian sumatif pula digunakan bagi menentukan tahap penguasaan pelajar dalam keseluruhan kursus. Penilaian sumatif biasanya dilakukan pada akhir sesi kursus. Contoh penilaian sumatif ialah ujian akhir semester. Memandangkan penilaian sumatif dibuat pada akhir kursus, skor-skor dari penilaian sumatif biasanya lebih berguna untuk tujuan melaporkan kemajuan pelajar daripada memperbaiki kelemahan awal pengajaran pensyarah dan pembelajaran pelajar.

Secara am, tujuan penilaian sumatif bukanlah untuk membantu pelajar meningkatkan pencapaian, tetapi untuk memberikan gred kepada mereka. Gred yang diperoleh boleh digunakan untuk membuat perbandingan pencapaian dikalangan pelajar. penilaian suamtif juga dapat dijadikan petunjuk samada pelajar akan berjaya mengikuti sesuatu mata pelajaran baru atau tidak.

Bagi memastikan penilaian sumatif, langkah-langkah berikut harus diambil semasa menggubal ujian:

1. membentuk jadual penentu ujian
2. membina soalan
3. mengumpul soalan secara sistematik
4. menguji soalan melalui kajian rintis
5. menyiapkan skema pemarkahan

3. Penilaian Pra Kelayakan dan Diagnostik

Penilaian pra kelayakan digunakan sebagai petunjuk sama ada pelajar berpontensi, bersedia dan mempunyai kecerdasan, bakat dan minat terhadap sesuatu bidang yang ingin beliau ceburi. Penilaian diagnostik pula dilakukan sebagai cara untuk mengesan sama ada pelajar sudah bersedia untuk mengikuti pelajaran seterusnya. Sekiranya beliau belum bersedia, guru dapat mengesan kelemahan dan kekuatan pelajar agar pembetulan serta penambahbaikan yang berkaitan boleh lakukan.

Ujian Pencapaian

Ujian pencapaian mengukur secara khusus sejauh mana pelajar telah menguasai isi sesuatu kursus yang diajar. Ujian pencapaian mempersoalkan apa yang pelajar telah belajar? Seringkali ujian pencapaian merujuk kepada ujian bagi mengukur tingkah laku pengajaran dan pembelajaran kognitif, afektif dan psikomotor.

Ujian Kecerdasan

Ujian kecerdasan adalah ujian yang direka khusus untuk mensampel secara luas pelbagai fungsi mental (pemikiran) supaya dapat menganggarkan tahap intelektual am seseorang individu.

Ujian Prestasi

Ujian prestasi adalah ujian yang memerlukan pelajar menunjukkan pemahaman dan kemahiran mereka dalam melakukan aktiviti atau siri aktiviti seharian. Ujian prestasi memberi rangsangan kepada pelajar untuk memperkenal dan mengembangkan aktiviti pemikiran dan taakulan mereka berasaskan kepada kurikulum yang diajar. Di antara teknik yang digunakan dalam ujian prestasi ialah menghendaki pelajar merakam sebahagian aktiviti, menemubual pelajar bagi mengesahkan kebolehan, kefahaman dan pemikiran mereka. Teknik portfolio juga sering digunakan bagi memeriksa hasil kerja pelajar. Melalui teknik portfolio guru boleh menentukan sama ada kerja yang dilakukan memenuhi kehendak soalan ujian.

4. Penilaian Alternatif

Penilaian prestasi yang menegaskan bahawa kaedah penilaian ini memberi satu alternatif kepada pengujian kertas dan pensil tradisional. Penilaian pengajaran di universiti sering melibatkan penilaian berdasarkan hasil pembelajaran yang ditunjukkan oleh pelajar. Antara penilaian alternatif ini adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, seminar, bengkel dan oral pelajar. Sebagai contoh, pensyarah boleh menilai keberkesanan pengajarannya dalam sesuatu kursus melalui portfolio yang disediakan oleh pelajar

Interaksi Minggu 4 ( ISL )

PENILAIAN UJIAN
Soalan Objektif

· Memerlukan murid menulis /memilih satu jawapan yang betul atau yang paling baik. Ia dibentuk daripada beberapa item objektif yang boleh diperiksa secara objektif iaitu pemeriksa –pemeriksa berlainan memperolehi skor yang sama ketika memeriksa tindak balas yang serupa. Kebolehpercayaan pemarkahan ujian ini adalah tinggi. Pelajar tidak bebas mengatur, menyumbang tindak balas mengikut kehendaknya sendiri. Ia mestilah memilih atau memberi satu daripada beberapa pilihan yang mungkin berupa perkataan, rangkai kata, angka-angka atau lambang-lambang yang betul.
· Antara contoh soalan objektif ialah :-

1) Item jawapan pendek
· Boleh diklasifikasikan sebagai item objektif yang menyumbang gerak balas bebas. Ia boleh merupakan soalan dan melengkapkan ayat-ayat sama ada dengan perkataan, rangkai kata, atau lambang-lambang.

2) Item jenis padanan
· Item padanan menghidangkan masalah (premises atau stimuli) dan beberapa penyelesaian masalah (tindak balas). Stimuli diletakkan di sebelah kiri dan tindak balas pula diletakkan di bahagian kanan. Murid kemudiaanya di kehendaki memadankan stimuli dan tindak balas yang berkaitan.

3) Item jenis aneka pilihan
· Item jenis ini adalah daripada golongan item jawapan tetap kerana diberikan tindak balas terbatas. Item ini terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu stimulus (rangsangan), stem (bahagian yang mengandungi tugasan) dan jawapan pilihan.

4) Item jenis kloz.
· Satu teknik pengukuran yang dibina dengan meninggalkan kosong perkataan-perkataan atau rangkai kata tertentu dalam sesuatu ujaran. Tempa-tempat kosong diisi dengan perkataan-perkataan atau rangkai kata secara bebas ataupun daripada pilihan yang diberi. Soalan jenis ini sesuai untuk menguji keupayaan dalam bidang perbendaharaan kata dan tatabahasa secara mendalam.


Soalan Subjektif

· Bersifat pertanyaan dalam instrumen pentaksiran untuk menguji pengetahuan, pengalaman, kemahiran serta tahap kebolehan kognitif. Terbahagi kepada dua jenis item iaitu item struktur dan item jenis esei.

i) Item jenis struktur
- Merupakan item yang disusun dan diatur secara sistematik serta berkembang untuk menjadi rangka kepada satu persoalan yang lebih besar atau berkaitan dengan satu-satu tema.

ii) Item jenis esei.
- Memberi peluang kepada pelajar melakukan gerak balas dalam tulisan dengan menggunakan perkataan sendiri. Gerak balas memerlukan jawapan yang meluas dan bebas dari segi mengenal fakta, menilai fakta, mengatur idea dan mengembleng idea-idea. Kebolehpercayaan pemarkahan item jenis ini adalah rendah. Item jenis esei ini terbahagi kepada dua jenis iaitu item tindak balas terhad (dihadkan skop/topik tertentu) dan item tindakbalas lanjutan.

Sumber rujukan: -
Kamarudin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa.

Thursday, February 5, 2009

Interaksi Minggu 3 ( ISL )

Jadual Spesifikasi Ujian.

Ia menghuraikan aspek-aspek pencapaian yang hendak diukur serta
memberikan panduan untuk mendapatkan satu sampel item-item soalan

Kepentingan JSU :

􀀹 Dapat mengelakkan ujian yang dibina secara sembarangan dan dapat
dilakukan secara terancang dan rapi.
􀀹 Dalam JSU, bilangan soalan bagi sesuatu tajuk diberi berdasarkan
pentingnya tajuk atau objektif pelajaran
􀀹 Akan menjamin kesahan dan kebolehpercayaan ujian.
􀀹Membolehkan ujian yang sama dibina oleh orang lain.
􀀹 Dapat menstabilkan taraf dan aras kesukaran ujian dari setahun ke
setahun.
􀀹 Perbandingan dapat dibuat di antara satu ujian dengan ujian yang lain

JSU mengandungi maklumat tentang:

􀀹 Bentuk dan panjangnya ujian
􀀹Aras kesukaran dan juga aras kemahiran yang diuji
􀀹JSU yang dirancang dengan baik akan menolong dalam penentuan
kesahan dan kebolehpercayaan ujian itu.
􀀹Pembahagian soalan untuk tiap-tiap unit kandungan mesti sama dengan
penegasan yang diberi dalam pengajaran.
􀀹Kepentingan aras mesti bersesuaian dengan kebolehan murid-murid yang
akan diuji.
􀀹Terdapat dua jenis soalan yang boleh digunakan iaitu soalan objektif dan
soalan subjektif.
􀀹Penggubal soalan mesti menentukan jumlah soalan untuk ujian itu.
􀀹Masa mestilah cukup supaya 80% daripada murid-murid dapat menjawab soalan.

Biasanya JSU terdiri daripada dua paksi, iaitu paksi kandungan dan paksi peringkat kemahiran. JSU ini akan menetapkan bilangan soalan yang perlu diuji bagi setiap tajuk/subtajuk pada setiap peringkat kemahiran. JSU yang lengkap dibina akan menjadi panduan kepada penggubal soalan. Jika JSU dipatuhi dengan teliti, maka ujian yang dibina adalah:
a)sah dari segi kandungan sukatan pelajarannya,
b)stabil dari segi mutu, tahap, dan kesukarannya dari setahun ke setahun,
c)sama dari segi mutu, tahap, dan kesukarannya walaupun ujian dibina oleh . . . orang yang berlainan.

Menggubal soalan.

Langkah ini dilakukan oleh pakar-pakar dalam mata pelajaran berkenaan. Penggubal perlu menulis soalan berdasarkan JSU dari segi kandungan dan kemahiran yang hendak diuji. Soalan hendaklah ditulis berpandukan kepada prinsip penulisan soalan. Secara umumnya, kriteria yang perlu ada pada seseorang penggubal ialah:
a) menguasai isi kandungan silibus, termasuklah kesedaran tentang sebarang kesukaran yang dihadapi oleh pelajar untuk menguasai mata pelajaran, kesedaran tentang kekeliruan atau kesilapan yang lazim dibuat oleh pelajar (penting untuk membina distraktor dalam soalan aneka pilihan), dan kesedaran tentang kesukaran bandingan antara tajuk- tajuk yang ada. Kesedaran itu penting kerana sampel soalan perlu didasarkan pada kesukaran bandingan yang ada supaya kertas soalan tidak menjadi terlalu mudah atau terlalu susah,
b) mempunyai objektif pendidikan yang rasional supaya dapat membezakan antara perkara yang penting diketahui oleh pelajar dengan perkara yang remeh-temeh yang tidak perlu diuji,
c) memahami dan menyedari tahap pendidikan pelajar supaya soalan yang dibina dapat disesuaikan dengan kemampuan mental pelajar tanpa menjejaskan standard soalan. Ini penting untuk mengelakkan sebarang perkara yang menimbulkan keraguan atau perkara di luar liputan sukatan pelajaran,
d) mahir dalam perhubungan verbal supaya soalan yang ditulis tepat maknanya secara eksplisit dan implisit dan betul jalan bahasanya; kesilapan tafsiran kerana penggunaan kata-kata atau ungkapan yang kurang tepat dalam soalan esei dapat dibetulkan dengan mengubahsuaikan skema pemarkahan tetapi dalam soalan aneka pilihan, ubahsuaian ini tidak dapat dilakukan,
e) mahir dalam teknik menulis soalan dengan menggunakan imaginasi clan daya cipta sendiri.

Memilih dan menyelaraskan soalan.

Soalan (terutamanya soalan aneka pilihan) hendaklah digubal berdasarkan kehendak JSU disemak oleh satu jawatankuasa/panel berdasarkan kriteria yang berikut.
a) Pokok soalan lengkap dan jelas.
b) Tugasan soalan jelas dan terfokus.
c) Soalan dapat digolongkan ke dalam mana-mana satu bidang isi kandungan-kemahiran yang terdapat dalam JSU.
d) Teori, konsep, prinsip yang terlibat adalah arlit kepada pelajar.
e) Laras bahasa sesuai dan tatabahasa betul.
Jawatankuasa/panel juga bertanggungjawab memperbaiki sebarang kesilapan atau kecacatan yang terdapat pada soalan-soalan yang dipilih.

Memprauji soalan.

Soalan-soalan yang terpilih disusun mengikut kehendak JSU sehingga menjadi satu set soalan untuk diprauji kepada satu sampel caton. Praujian ini bertujuan untuk mengetahui aras kesukaran dan indeks diskriminasi setiap soalan. Hanya soalan yang mempunyai aras kesukaran yang dibenarkan dan kuasa diskriminasi yang baik sahaja yang dipilih untuk digunakan dalam peperiksaan sebenar

Menyediakan kertas soalan.

Setelah diprauji, soalan-soalan yang bermutu dipilih mengikut bilangan yang ditetapkan oleh JSU untuk dijadikan kertas soalan sebenar. Soalan yang dipilih ialah soalan yang mempunyai aras kesukaran yang sederhana dan mempunyai kuasa diskriminasi yang baik.

Interaksi Minggu 2 ( ISL )

Taksonomi Bloom dan Domain Krathwohl.

Huraian mengenai pelbagai tahap Taksonomi Bloom :
Taksonomi Kognitif Bloom (1956)

TAHAP
a.Pengetahuan
Ingat kembali, mengenal idea, fakta asas, definisi teori, hukum, tarikh, peristiwa dll daripada pembelajaran yang lepas.

ISTILAH YANG DIGUNAKAN :
Nyatakan, terangkan,
namakan, labelkan.

b. Kefahaman
Mengubah kefahaman daripada satu bentuk kepada satu bentuk yang lain, menyatakan idea-idea utama dalam ayat sendiri, menterjemah, memberi contoh kepada konsep, menterjemah draf.

ISTILAH YANG DIGUNAKAN :
Pilih, terangkan,
tulis semula.

c. Penggunaan
Menggunakan maklumat dalam situasi yang baru, termasuk menyelesaikan masalah menggunakan prinsip, kaedah, hukum, teori, formula. Bina graf daripada data, dll.

ISTILAH YANG DIGUNAKAN :
selesaikan, ramalkan, cari, kesilapan, bina alat.

d. Analisis
Sesuatu yang kompleks dipecahkan kepada yang kecil, bezakan fakta daripada pendapat, kaitan kenal di antara bahagian, kenali struktur organisasi.

ISTILAH YANG DIGUNAKAN :
Bezakan, pasti, pilih.

e. Sintesis
Menyepadu, mencantum idea menjadi satu, usaha tersendiri, menyelesaikan masalah, membuat ramalan, membuat klasifikasi.

ISTILAH YANG DIGUNAKAN :
Bina, hasilkan, susun, kembangkan.

f. Penilaian
Membuat pertimbangan termasuk memberi rasional atas alasan dalaman atau luaran, menafsir dan mengkritik.

ISTILAH YANG DIGUNAKAN :
Pilih, berikan alasan, kritikan, buktikan.



DOMAIN AFEKTIF @ DOMAIN KRATHWOHL :

Setelah anda didedahkan dengan konsep, definisi dan domain kognitif dalam KB, kita akan membincangkan pula satu lagi domain penting yang telahpun disebut di atas, iaitu domain afektif.


Krathwohl dan rakan-rakan, (1964) adalah antara penyelidik yang julungkali menggunakan terminologi ‘afektif’ (affective) dalam memperkenalkan satu lagi domain penting dalam hidup manusia. Ia digunakan sebagai satu lagi objektif pengajaran di samping aras-aras yang terdapat dalam domain kognitif yang telah diperkenalkan oleh Bloom dan rakan-rakan pada tahun 1956. Krathwohl mengkatigorikan domain afektif sebagai terdiri daripada; penerimaan (receiving), tindak-balas (responding), menilai (valuing), menyelaraskan sistem nilai (organizing a value set), dan mengamalkan sesuatu mengikut sistem nilai yang kompleks (characterizing by value complex).



Morgan dan Saxton (1991) mentakrifkan soalan-soalan domain afektif sebagai ‘questions of feelings’ (soalan berasaskan perasaan). Pendapat ini adalah serasi dengan apa yang dinyatakan oleh Bolton (1973) ‘learning needs to be felt for it to be effective…’ (pembelajaran melalui perasaan sahaja yang akan lebih efektif). Domain ini amat penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana pertaliannya yang cukup kuat dengan domain kognitif dalam proses KB. Kepentingan domain afektif ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam dalam tajuk yang menyentuh ‘COGAFF Taxonomy’ nanti.



Dengan kelahiran istilah Kecerdasan Emosi (Emotional Intelligence atau EQ) seperti yang diketengahkan oleh Daniel Goleman dan menjadi bagitu popular dewasa ini menjadikan konsep EQ dan ‘domain afektif’ bagitu penting. Domain ‘afektif’ dan ‘emosi’ adalah dua istilah yang berbeza tapi sama dari segi makna dan penekanan. Kedua-dua istilah adalah menegaskan tentang kepentingan elemen perasaan, system nilai system kepercayaan, keyakinan dalam proses membuat keputusan, memberikan pendapat, pembentukkan personality dan pegangan hidup seseorang. Perbincangan tentang tajuk yang berhubung dengan domain afektif dan EQ ini dan kepentingannya kepada kehidupan akan dibuat dengan lebih mendalam dalam tajuk-tajuk yang menyentuh tentang ‘COGAFF Taxonomy’ dan kecerdasan emosi atau ‘Emotional Intelligence’ nanti.


References

Krathwohl, D.R., Bloom, B.S., and Masia, B.B., (1964). Taxonomy of Educational Objectives: The classification of Educational Goals. Handbook II: Afective Domain. New York: David McKay.

Goleman, D. (1995). Emotional Intelligence: Why it can matter more than IQ. New York: Bantam Books.

Interaksi Minggu 1 ( ISL )

Pengertian Konsep Pentaksiran, Pengujian dan Penilaian.

1.1 Pengertian Penilaian

Apakah itu penilaian pendidikan? Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.

Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh pakar-pakar seperti Stufflebeam (1971), Thorndike dan Hagen (1977) dan Kubiszyn dan Borich (1996), pada asasnya penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan. Dari segi pengajaran dan pembelajaran di universiti, penilaian boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dewan kuliah dan makmal dicapai.

Definisi penilaian ini membawa maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan pertimbangan terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat ukur yang dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara pelbagai jenis penilaian yang sering dilakukan di universiti adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat subjektif, pincang dan rapuh.


Kuantifikasi dan Kualifikasi Dalam Penilaian

Penilaian pendidikan membabitkan dua unsur utama iaitu kuantifikasi dan kualifikasi. Kuantifikasi menggunakan ujian bagi mengukur kewujudan bukti empirikal penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus yang diajar. Kualifikasi menggunakan pertimbangan nilai terhadap bukti empirikal penguasaan pelajar bagi membuat keputusan sama ada objektif pengajaran dan pembelajaran dicapai atau tidak.

Bukti empirikal penguasaan pelajar dalam bentuk skor yang sahih dan boleh dipercayai sangat diperlukan bagi membuat penilaian. Keperluan ini adalah kerana setiap keputusan yang dibuat melibatkan risiko. Bukti empirikal membantu kita membuat keputusan dengan risiko yang kecil. Semakin tepat pensyarah mengukur pencapaian pelajar, semakin tepat penilaian pensyarah terhadap keberkesanan pengajarannya.


1.2 Pengertian Pentaksiran dan Pengukuran

Kesahan bukti empirikal yang digunakan bagi penilaian sangat bergantung kepada sejauh mana pensyarah berupaya mengkuantifikasikan dengan tepat kewujudan atribut atau ciri penguasaan pelajar yang digunakan sebagai asas penilaian. Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi seseorang individu. Pengukuran merupakan suatu proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut. Dalam pengajaran dan pembelajaran di universiti, kewujudan ciri “penguasaan” sesuatu isi kursus yang diajar oleh pensyarah pada pelajar dikuantifikasikan dengan memberi skor ujian.


1.3 Pengertian Pengujian

Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus di universiti. Ujian adalah alat ukur. Ujian digunakan bagi mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka dalam kursus berkenaan. Tahap penguasaan pelajar biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.

Memandangkan ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran di universiti, tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat. Kita perlu memastikan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna dan boleh dipertahankan. Satu daripada cara-cara memastikan ini berlaku ialah dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.

1.4 Tujuan Pengujian Pengajaran dan Pembelajaran

Tujuan utama pengujian ialah untuk menghasilkan bukti yang boleh digunakan bagi membuat penilaian terhadap pengajaran dan pembelajaran di universiti. Penilaian di bilik kuliah dan makmal boleh membantu para pensyarah menambah baik pengajaran mereka dan pembelajaran pelajar. Selain matlamat diagnosis pengajaran dan pembelajaran, skor ujian digunakan sebagai asas bagi pengredan, pemilihan, penempatan, kaunseling dan bimbingan pelajar.